Mari berzikir.. sila klik

Pengenalan

Saya bukanlah seorang doktor, cuma blog ini boleh diibaratkan sebagai 'buku skrap' atau koleksi artikel yang saya salin daripada akhbar, majalah dan internet berkaitan kesihatan. Artikel yang disalin di sini adalah untuk rujukan saya dalam mencari jawapan kepada penyakit-penyakit tertentu. Jika ada pertanyaan boleh terus bertanya kepada pihak-pihak yang lebih arif.

Rabu, 15 September 2010

Khasiat Pelbagai Tanaman

PENDAHULUAN

Sejak bermulanya tamadun manusia lagi, manusia telah mula menggunakan tumbuhan dalam mengubati penyakit-penyakit tertentu. Mereka telah menemui pelbagi jenis tumbuhan yang dikatakan mempunyai kuasa ajaib untuk menyembuhkan penyakit.

Bukti awal yang menunjukkan manusia telah lama menggunakan tumbuhan ini dalam bidang perubatan ini dapat dilihat dalam Kod Hammurabi yang ditemui di Babylon pada awal 1770 S.M. dan di Egypt pada tahun 1550 S.M.

Lebih daripada itu, orang Egypt juga percaya bahawa tumbuhan memainkan peranan penting dalam kehidupan selepas mati yang dipercayai oleh mereka. Pelbagai spesis tumbuhan juga telah ditemui di Pyramid Giza di Mesir dan di Muzium Cairol.

Ini menunjukkan betapa besarnya peranan yang telah dan sedang dimainkan oleh pelbagai jenis tumbuhan di muka bumi ini, terutamanya dalam bidang perubatan.

Justeru, tugasan ini adalah berkaitan dengan beberapa jenis tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan yang telah digunakan sejak turun –temurun.

Maklumat yang disertakan adalah hasil daripada beberapa sumber berlainan yang boleh dipercayai. Antara tumbuhan yang disertakan adalah, kunyit,bawang putih,peria gelenggang asam jawa pegaga dan halia. Diharap agar tugasan ini mampu menarik minat pembacanya.

KUNYIT (Curcuma domestica)

Kunyit adalah sejenis tumbuhan yang berasal dari kawasan Asia Tenggara, namun sekarang ini telah pun tersebar di seluruh negara Asia. Nama botani bagi kunyit ialah Curcuma domestica. Curcuma domestika ialah kunyit biasa. Terdapat juga kunyit dari spesies kunyit liar yang disebut sebagai temu. Diantaranya ialah temu pauh ( Curcuma mangga ), temu emas ( Curcuma zeodoria ), temu putih ( Curcuma auriantica ), temu hitam ( Curcuma aerugtinosa ) dan temu lawas ( Curcuma xanthorthiza )

Khasiat dan nilai-nilai perubatan dalam kunyit; Kunyit banyak digunakan sebagai perisa dalam makanan, pewarna, pengawet dan bahan dalam adat-adat keagamaan. Selain itu tidak dapat dinafikan kunyit juga sejenis tumbuhan yang turut mempunyai nilai yang tersendiri dalam perubatan. Selain daripada digunakan untuk tujuan di atas kunyit turut digunakan sebagai bahan ramuan dalam penyediaan ubat-ubatan tradisional. Air perahan kunyit bersama madu lebah dan minyak lenga digunakan untuk menyembuhkan bengkak hati. Kunyit serta bahan ramuan lain juga boleh dijadikan untuk mengubati bengkak gusi, sakit dada dan perut, gangguan haid, dan melancarkan aliran darah. Di samping itu sebatian kimia dari kunyit dapat digunakan sebagai ramuan penghalau serangga seperti kumbang, anai-anai dan lipas.

BAWANG PUTIH (Allium sativum)

Bawang putih atau nama sainsnya Allium sativum merupakan tumbuhan berumpun yang bersiung-siung, di mana tiap siungnya terbungkus dengan kulit tipis. Daun bawang putih berbentuk pita, dan akarnya akar serabut. Bunganya berwarna putih, dan kalau dihiris umbinya berbau sangat tajam dan khas. Bahan kimia yang terdapat pada bawang putih ialah sativine dan allicin. Sativine adalah bahan kimia yang mengandungi daya mempercepat pertumbuhan sel dan pertumbuhan jaringan. Di samping itu ia meransang susunan saraf dan ia berbahaya pada ana kecil kerana mungkin mengakibatkan gatal. Allicin pula mempunyai khasiat antibiotik. Kandungan kimia lainnya adalah: sinistrin, saponin, nicotinic acid dan bersifat hipotensive. Diallydisulfide sebagai anticacing, yitamin A, vitamin B, C dan vitamin D. Juga didapati HCN dan fosfor.

Bawang putih sebagai antibiotik dapat memusnahkan bakteria, virus, ameba dan mikroorganisme berbahaya lain. Ia merupakan antibiotik semulajadi yang kuat. Bawang putih begitu kuat sehingga ia mampu memusnahkan sebahagian organisme yang tidak dapat dimusnahkan oleh ubat yang paling kuat. Tetapi tidak seperti ubat biasa, bawang putih tidak menghasilkan kesan sampingan berbahaya. Oleh itu, bagi mereka yang menghidap selesema, cirit-birit berdarah, taun atau penyakit lain yang berjangkit, maka bawang putih baik untuk kesihatan. Bagi jangkitan dalam telinga, minyak bawang putih yang dititik ke dalam telinga dikatakan ramuan yang berkesan.

Bawang putih juga dapat mencuci darah dan menyingkirkan bahan beracun, termasuk logam berat, dari tubuh. Maka tidak diragui bahawa ia boleh membantu pesakit kanser dan penghidap penyakit serius lain kerana penyembuhan lebih mudah berlaku apabila darah menjadi bersih. Ia juga dapat membantu kes-kes kanser yang jauh di dalam tubuh, seperti kanser usus besar, hati, pankreas, prostat, rahim dan tulang.

Bawang putih juga berkesan menentang penyakit jantung (biasanya jenis yang). Bawang putih mencair dan mencuci serta mengurangkan proses pembekuan darah. Ini membolehkan darah mengalir lebih lancar dalam salur darah yang sebahagiannya disekat oleh himpunan kolesterol. Dengan itu kuranglah berlaku serangan jantung.

Jadi, bawang putih boleh membantu penghidap darah tinggi, pesakit berkolesterol tinggi dan masalah yang dikaitkan dengan jantung dan peredaran darah.

PERIA

Peria atau dikenali sebagai kambas (Momordica charantia), sayur hijau seakan timun, merupakan sayur yang paling mendapat perhatian pakar perubatan moden dewasa ini. Sungguhpun hanya buahnya sahaja yang digunakan ketika memasak, hampir keseluruhan bahagian pokok termasuk akar, daun, batang dan lain-lain digunakan untuk tujuan pengubatan. Peria ini boleh didapati dengan mudah diserata tempat, termasuk juga tempat di mana ia tidak boleh hidup. Ia juga merupakan tumbuhan bermusim. Peria segar boleh didapati sekitar bulan April hingga June di Hemisfera Selatan, manakala musim di Hemisfera Utara ialah sekitar Oktober hingga Disember. Peria juga ada yang telah dikeringkan ddaan boleh dibeli daripada mana-mana kedai singseh China.

Peria merupakan sejenis tumbuhan memanjat. Daun, akar, batang dan juga buahnya direbus untuk mendapat air rebusan bagi dijadikan ubat. Bagaimanapun adakalanya ia digunakan mentah-mentah. Di Filipina contohnya, daun peria yang telah dilumatkan diletakkan ke dalam mulut bayi yang baru lahir untuk merangsang sistem imunasi tubuhnya. Selain itu ia digunakan sebagai ubat pupuk untuk merawat gigitan serangga. Dalam perubatan China, air daripada perahan buah peria digunakan untuk merawat penyakit diabetes kerana ia boleh menurunkan paras gula di dalam darah.

KEGUNAAN PERIA

i) Meningkatkan Imun Tubuh Peria didapati boleh meningkatkan semula kiraan sel CD4 (sel imun) dalam tubuh manusia. Ujian darah untuk menguji jumlah kiraan sel imun adalah perkara paling asas untuk mengetahui perkembangan dan betapa seriusnya tahap HIV dan AIDS. Dalam beberapa kajian yang dijalankan terhadap individu yang mana kiraan CD4 telah menurun ke paras yang berbahaya, juga terhadap individu yang kiraan sel CD4 mereka meningkat semula setelah mengamalkan pengambilan peria dalam diet harian mereka untuk jangka masa tertentu.

Menurut kajian tersebut, jika jumlah kiraan sel CD4 ini agak tinggi padda peringkat awaal pengggubatan (mengamalkan memakan peria), tahap peningkatan sel imun yang baru adalah lebih memberansangkan. Bagaimanapun terdapat juga laporan mengatakan bahawa dalam beberapa kes tertentu, pengubatan cara baru ini juga telah berjaya meningkatkan tahap CD4 terhadap individu yang mana telah menurun hingga ke paras sifar.

II) "OPPORTUNISTIC INFECTIONS"

Selain daripada meningkatkan sel imun tubuh, peria juga didapati berguna untuk merawat, atau pun mampu mengurangkan, penyakit-penyakit sampingan yang mempunyai kaitan dengan jangkitan HIV seperti arthritis dan "opportunistic infetions", misalnya herpes kemaluan, tuberkolisis dan beberapa jenis penyakit kulit, yang menyerang lantaran lemahnya sisten imunasi tubuh.

Sehingga kini kajian saintifik sepenuhnya atas keberkesanan peria ataupun kambas ini belum dapat dilakukan, bukan kerana sukar mendapatkan bekalan bahan tersebut, tetapi disebabkan faktor kos uji kaji yang terlalu tinggi. Namun begitu uji kaji secara kecil-kecilan terus dijalankan, sama ada uji jai tabung uji mahupun di makmal haiwan, dan keputusan yang didapati adalah amat memberangsangkan. Sekumpulan pakar penyelidik di Amerika Syarikat telah berjaya mengasingkan sejenis protein yang terdapat di dalam peria. Protein ini mereka namakan sebagai MAP-30. Protein ini terdapat pada biji dan kullit buah berkenaan. MAP-30 ini dikatakan mengandungi sifat-sifat anti-kanser sebagaimana yang terdapat pada tikus. Selain daripada iitu MAP-30 juga mengawal merebaknya penyakit-penyakit virus seperti herpes dan poliomaelitis, dan menghalang penyakit tersebut daripada membiak dan merebak dari satu sel ke sel yang lain. Protein-protein lain yang diasingkan daripada tumbuhan jenis memanjat ini juga didapati boleh membantu mengurangkan berlakunya keguguran dan menghalang pertumbuhansel-sel kanser. Para saintis dari Itali pula telah mengesahkan bahawa protein daripada peria ini mempunyai sifat-sifat anti virus.

GELENGGANG

Tumbuhan gelenggang atau daun kurap yang dikenali oleh masyarakat melayu mempunyai kelebihan dalam mengubati penyakit sembelit dan kurap. Tumbuhan ini mempunyai nama saintifiknya iaitu Cassia alata. Ia merupakan sejenis pokok renek yang memanjat dan boleh tumbuh setinggi 3 meter. Dedaunnya bercantum-cantum yang biasanya mempunyai 10 pasang pucuk-pucuk muda berbentuk bujur, besar dan tidak tajam. Bunganya berwarna kuning dan meruncing tegak dihujungnya. Di samping itu, tumbuhan ini juga mempunyai banyak biji yang berbentuk segitiga.

Masyarakat di Malaysia iaitu, Melayu Cina dan India menggunakan pokok gelenggang ini sebagai ubatan dengan cara yang berbeza. Bagi masyarakat Melayu, mereka menggunakan dedaunnya sebagai ubat demah bagi mengubati penyakit kurap, sementara air rebusan akarnya diminum untuk melegakan sembelit.

Bagi masyarakat Cina pula, mereka akan menyapu daun-daun atau daun yang telah ditumbuk dan dicampur dengan air limau nipis ke tempat yang dipenuhi kurap serta lain-lain penyakit berjangkit. Bagi masyarakat India, mereka menggunakan daun-daun tumbuhan ini untuk membuat tonik yang boleh diminum begitu saja atau dicampurkan dengan susu atau gula.

ASAM JAWA (Tamarindus indica)

Asam jawa tumbuh liar di kawasan barat India dan di benua Afrika bahagian Selatan padang pasir Sahara. Pokok asam telah lama ditanam di negara India dan sekarang boleh didapati di kebanyakan kawasan tropika di benua Asia, Afrika, dan Amerika. Di Malaysia, kita biasa dengan pokok asam jawa yang tumbuh rendang, jarang-jarang melebihi ketinggian 10 m. Daun pokok asam adalah malar hijau serta mempunyai banyak anak daun yang halus. Buah asam jawa tergolong dalam jenis kekacang yang benkok, isinya berketul-ketul dan berwarna perang seperti kayu.

Terdapat beberapa jenis pokok asam, tetapi biasanya ia dibahagikan kepada dua jenis, iaitu yang masam dan yang manis sedikit. Buah pokok asam yang manis di makan sebagai manisan. Kandungan gula dalam buah ini boleh mencapai 40 peratus. Kandungan bahan kimia yang memberi ciri asam pula ialah asid tartar yang boleh mencapai sehingga 14 peratus. Buah asam jawa juga mengandungi karbohidrat, protein, dan lemak. Biji asam jawa pula mengandungi 63 peratus kanji, 14 peratus hingga 18 peratus albuminoid, dan lebih kurang 6 peratus minyak. Ia dijadikan sumber jelos seperti pektin yang digunakan dalam pelbagai industri.

Asam jawa dan akar pokok asam jawa digunakan dalam perubatan tradisional orang Timur untuk menyejukkan badan dan sebagai pelawas buang air besar. Kayu teras digunakan sebagai pelawas buang air besar dan air kecil, ubat penyakit hati, dan penawar kurang selesa. Kulit buah dan kulit kayu asam jawa pula mempunyai kegunaan lain, iaitu sebagai ubat cirit-birit. Ini adalah kerana kulit buah dan kulit kayu mengandungi banyak tanin, manakala isinya mengandungi banyak asid tartar. Kulit kayu juga dibuat losyen untuk mengubati pelbagai penyakit kulit seperti bisul, bengkak, ulser, dan gatal kerana terkena gigitan serangga.

Air rebusan daun diminum sebagai penawar demam panas. Daun muda ditumbuk lumat dan ditampal untuk mengubati penyakit reumatisme, luka , dan bisul. Daun asam jawa yang dicampur dengan kunyit dan ditumbuk lumat jika disapu pada bisul, dikatakan boleh mengubatinya. Jus daun muda boleh mengubati mata merah dengan cara dipanaskan sedikit dan ditapis lalu dititiskan pada mata berkenaan. Kulit kayu direbus dan air rebusan itu diminum untuk melegakan lelah.

Sememangnya asam jawa mempunyai banyak kegunaannya dalam perubatan. Selain daripada mengubati penyakit-penyakit di atas, asam jawa juga boleh mengubati pelbagai penyakit seperti selesema, gatal kerongkong, disenteri berdarah, batuk, sakit otot, jaundis, cacing dalam perut, dan cirit birit.

PEGAGA

PEGAGA telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjana kecerdasan berfikir terutama dikalangan kanak-kanak..

Pegaga atau dikenali Centella Asiatica diperakui WHO kerana kaya dengan pelbagai ramuan ubatan. Masyarakat Cina menamakannya Ching Chow Sui manakala orang India pula memanggilnya valeerai dan gotu kola. Nama-nama ini telah tercatat dalam manuskrip Ayurvedic di India lebih 4,000 tahun lalu dan Shennong Herbal di China sejak 2,000 tahun.

Masyarakat India teleh menggunakannya untuk menyembuhkan penyakit kulit seperti kusta, kudis, ulser dan luka-luka. Kajian yang dilakukan pada 1949, mendapati pegaga mujarab untuk mengubati kusta dan ulser kerana ciri-ciri antibakteria yang ada padanya. Masyarakat Cina pula bergantung kepada pegaga untuk mengubati gangguan emosi seperti tekanan perasaan yang disebabkan oleh masalah fizikal. Ia adalah herba serbaguna untuk mengubati sistem saraf serta meredakan tekanan perasaan.

Sebagai ‘makanan menjana kecerdasan otak’, herba ini amat mujarab untuk memperbaiki fungsi minda seperti meningkatkan daya ingatan dan penumpuan fikiran. Seorang ahli farmasi Amerika Syarikat yang juga pakar pemakanan dan herba, Earl Mindel menyenaraikan pegaga dalam seratus herba yang berguna di dunia di dalam bukunya ‘The Herbs Bible’.

Pegaga juga telah lama digunakan sebagai tonik untuk membersihkan darah dan menghasilkan kulit yang sihat. Amalan meminum jus pegaga amat mujarab untuk membantu mereka yang bermasalah untuk tidur, merawat kerengsaan kulit serta tekanan darah tinggi. Pegaga juga memberi kesan kepada beberapa tingkat pembentukan tisu seperti menghilangkan parut, membina kolagen, merangsang pembentukan rambut dan kuku.

POKOK HALIA

Pokok halia merupakan sejenis tanaman yang biasanya didapati di sekitar kawasan perumahan. Ia ditanam untuk mendapatkan rizomnya yang boleh digunakan sebagai bahan penambah rasa dalam masakan. Halia lebih dikenali Sebagai bahan masakan daripada sebagai bahan ubatan.

Halia hidup subur di kawasan tanah gembur dan mendapat bekalan cahaya matahari yang secukupnya. Pembiakannya adalah melalui rizom. Ini bermakna sekiranya rizom ditanam, rizom itu akan bercambah dan membentuk pokok yang baru.

Halia digunakan dalam perubatan untuk mengubati sakit perut dan boleh melegakan sakit gastrik. Bagi mengubati sakit perut, sedikit halia iaitu kira-kira 10 cm direbus selama 3 jam. Kemudian airnya diminum sehingga habis. Bagi mengubati sakit gastrik pula, 10 cm halia dikupas dan dimakan kesemuanya. Ia juga boleh ditumbuk dan airnya diminum.

Bagi menghilangkan sendawa, langkahnya adalah lebih kurang sama iaitu dengan mengambil 10 cm halia dan ditumbuk bersama-sama dengan bawang putih. Kedua-dua campuran ini dibancuh bersama sedikit air dan seterusnya diminum.

Selain dijadikan ubat, halia juga dijadikan minuman yang popular di kalangan masyarakat Malaysia. Ia juga kadang-kala dicampurkan dalam teh dan diminum sebagai teh halia.


Sumber :http://pkukmweb.ukm.my/~ahmad/tugasan/s2_99/a72632.htm

Tiada ulasan:

Pengikut

Counter Sejak Februari 2011