Mari berzikir.. sila klik

Pengenalan

Saya bukanlah seorang doktor, cuma blog ini boleh diibaratkan sebagai 'buku skrap' atau koleksi artikel yang saya salin daripada akhbar, majalah dan internet berkaitan kesihatan. Artikel yang disalin di sini adalah untuk rujukan saya dalam mencari jawapan kepada penyakit-penyakit tertentu. Jika ada pertanyaan boleh terus bertanya kepada pihak-pihak yang lebih arif.

Isnin, 21 November 2011

Aduh sakitnya pinggulku...


Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN


KAWASAN yang boleh dianggap sebagai 'mahkota wanita' sebenarnya mudah terdedah kepada masalah yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal namun turut menggugat keharmonian rumah tangga.

Presiden Yayasan Inkontinens Malaysia, Dr. Peter Ng berkata, otot lantai pelvis menjadi lemah disebabkan beberapa perkara iaitu pertambahan usia, kelahiran bayi dan juga obesiti.

Sesetengah prosedur yang dilakukan ketika proses kelahiran seperti forsep turut menyumbang kepada masalah di bahagian itu dalam tempoh yang panjang.

Menurutnya, otot dasar pelvis yang lemah menjadi punca kepada kurang kenikmatan seksual dan juga kekenduran organ-organ pelvis seperti pundi kencing dan rahim.

"Apabila ini berlaku, wanita akan mengalami masalah kawalan air kencing sehingga menyebabkan mereka terkucil ketika batuk, ketawa atau sebarang aktiviti menggunakan tenaga secara tidak sengaja," kata Dr. Ng.

Menurutnya, masalah itu boleh dikurangkan dengan mengurangkan pengambilan minuman berkafein dan beralkohol, menghentikan tabiat merokok dan juga mengawal obesiti.

Wanita juga katanya perlu mengurangkan aktiviti yang melibatkan kekuatan fizikal kerana ia turut menyumbang kepada kelonggaran otot-otot pada lantai pelvis.

Tahap masalah kawalan kencing:

Gred 1: Terkucil disebabkan tekanan secara tiba-tiba di kawasan abdomen, namun tidak berlaku ketika malam.

Gred 2: Berlaku ketika pesakit berjalan, bangun dari posisi duduk, duduk pada katil atau berlaku dengan kerap ketika malam

Gred 3: Berlaku walaupun tiada kaitan dengan aktiviti fizikal atau posisi.

Rawatan

Terdapat beberapa cara rawatan bagi merawat masalah otot lantai pelvis lemah. Antaranya melalui pembedahan namun ia dikhuatiri tidak mampu menjadi penyelesaian jangka panjang selain berlaku risiko komplikasi.

Rawatan melalui pengambilan ubat juga boleh dilakukan namun ia tidak begitu berkesan seperti pembedahan. Ia juga mempunyai risiko komplikasi dan hanya berkesan ketika ubat diambil.

Sebagai alternatif, Dr Ng berkata, wanita boleh memilih melakukan senaman otot lantai pelvis atau lebih dikenali sebagai senaman Kegel.

Senaman Kegel yang diperkenalkan oleh Dr. Arnold Kegel pada tahun 1940-an, telah terbukti mampu menguatkan dan mengentalkan otot lantai pelvis yang lemah akibat gejala penuaan, melahirkan anak dan prosedur-prosedur pembedahan seperti histerektomi.

Menurut Dr. Ng, kajian yang dilakukan menunjukkan wanita mengandung yang melakukan senaman otot lantai pelvis kurang mengalami masalah kawalan kencing.

Wanita yang mengamalkan senaman otot lantai pelvis selama empat tahun juga dilaporkan kurang mengalami masalah kawalan kencing berbanding mereka yang tidak.

Menurutnya, senaman otot lantai pelvis boleh dilakukan dengan cara berbaring sambil menekan otot lantai pelvis sekuat mampu selama beberapa saat (maksimum 10 saat). Ulang gerakan yang sama selepas berehat sekitar 10 saat.

Senaman itu elok dilakukan tiga kali sehari dengan anggaran 10 hingga 15 kemutan setiap kali. Ia juga elok dilakukan pada tiga posisi yang berlainan.

Alat bantuan senaman Kegel

Senaman Kegel telah terbukti amat berkesan. Namun, jika tidak dilakukan dengan cara yang betul, ia tidak akan memberi sebarang kesan dan otot dasar pelvis akan kekal lemah.

Untuk menjadikan senaman Kegel efektif, sebuah peranti canggih lagi inovatif perlu digunakan. Peranti ini dikenali sebagai Peranti Getaran Kegel (VKD).

VKD adalah alat paling berkesan untuk menyokong senaman Kegel kerana ia dapat menentukan sama ada otot yang betul telah diberi senaman. Para pengguna dapat merasai getaran maklum balas lembut yang menghasilkan rangsangan positif terhadap otot.

Mengulas tentang pengenalan VKD, Pengarah Pembangunan Pemasaran Bioinfinity (M) Sdn Bhd. yang bertindak selaku pengedar, Ng Shea Kang berkata, untuk memperoleh manfaat daripada senaman-senaman Kegel, hanya otot yang betul perlu diberi senaman.

"Jika senaman dilakukan pada otot yang salah, maka senaman otot lantai tersebut tidak akan mendatangkan sebarang manfaat. Oleh itu, penggunaan VKD adalah amat perlu untuk memastikan otot yang betul diberi senaman.

Alat itu direka untuk meningkatkan kekuatan pengecutan otot vagina, menguatkan otot cerut pundi kencing, membantu memperbaiki kualiti kehidupan, menambah baik postur tubuh, mencantikkan tona otot abdomen dan mengembalikan bentuk badan.

Layari laman web www.mybioinfinity.com untuk maklumat lanjut.

utusanARKIB : 20/11/2011

Rawat diabetes lebih awal

Diabetes boleh dikesan melalui ujian darah di mana-mana klinik atau makmal.

DIABETES bukanlah sejenis penyakit yang asing bagi masyarakat kita. Setiap hari tanpa disedari, kita mungkin berhadapan atau berdiri ataupun makan di sebelah seorang pesakit diabetes. Setiap satu dalam tujuh orang dewasa di Malaysia menghidapi diabetes. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga 2006 menunjukkan prevalen bagi diabetes di kalangan penduduk negara ini yang berumur 30 tahun ke atas meningkat kepada 14.9 peratus berbanding hanya 8.3 peratus pada 1996.

Bagaimana boleh berlaku peningkatan sebegini? Terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada penyakit diabetes seperti masalah berat badan, pengambilan makanan tinggi lemak dan kurang serat, keturunan atau sejarah keluarga (diabetes ada hubungkait kuat dalam keluarga). Begitu juga peningkatan umur, kurang bersenam dan mengamalkan gaya hidup tidak aktif - ciri yang ada pada kebanyakan masyarakat kita. Wanita yang mengalami masalah diabetes ketika hamil mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit ini.

Diabetes boleh dibahagikan kepada dua jenis/kategori iaitu:

I. Diabetes Mellitus yang bergantung kepada Insulin (IDDM) atau Diabetes Mellitus Jenis I;
II. Diabetes Mellitus yang tidak bergantung kepada Insulin (NIDDM) atau Diabetes Mellitus Jenis II. Jenis yang paling banyak dialami adalah diabetes jenis II.

Jika anda mengalami gejala seperti luka yang lambat sembuh, jangkitan pada sistem pembuangan air kencing dan kemaluan, kebas kaki, dahaga, kerap buang air kecil dalam kuantiti yang banyak, letih dan lesu serta berat badan menurun tanpa sebab, anda disarankan menjalani ujian untuk diabetes.

Bagaimana diabetes dikesan? Kebanyakan orang tidak sedar mereka menghidap diabetes. Di Malaysia, pakar perubatan menganggarkan kebanyakan pesakit sudah menghidap diabetes bertahun-tahun lamanya sebelum penyakit mereka dikesan. Inilah sebabnya kita perlu mengetahui paras gula darah kita dengan kerap menjalani pemeriksaan. Diabetes boleh dikesan melalui ujian darah di mana-mana klinik atau makmal seperti Pathlab iaitu:

"Ujian paras gula ketika berpuasa - Ujian ini biasanya dijalankan pada waktu pagi selepas berpuasa selama lapan jam. Ini bermakna seseorang yang ingin menjalani ujian ini tidak boleh makan atau minum (kecuali air masak) selama lapan jam sebelum ujian.

"Ujian paras gula secara rambang - Ujian ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak perlu berpuasa.

"Ujian oral toleransi glukosa - Dalam ujian ini seseorang akan diberi minum air yang dibancuh dengan 75 gram glukosa. Tahap gula dalam darah akan diperiksa semasa puasa dan selepas dua jam pengambilan 75g glukosa.

Secara lazimnya ujian ini untuk wanita hamil yang disyaki menghidap diabetes di klinik kerajaan. Ramai wanita menghidap diabetes ketika hamil sedangkan mereka tidak pernah mengalami masalah itu. Keadaan ini dipanggil diabetes gestasi yang hanya berlaku ketika hamil. Wanita yang ada masalah ini mempunyai risiko mengalami pradiabetes dan diabetes jenis II kelak.

Biasanya ujian ini bertujuan mengetahui risiko menghidap diabetes gestasi ketika kehamilan memasuki minggu ke-24 hingga 28. Untuk mengesannya, wanita dikehendaki berpuasa selama lapan jam, dan akan diberikan air glukosa (ujian oral toleransi glukosa). Ujian ini sangat penting kerana diabetes gestasi boleh memberi kesan kepada kandungan; antara risikonya ialah badan bayi menjadi besar daripada normal (makrosomia), tahap gula dalam darah bayi terlalu rendah (hipoglisemia), bayi boleh mengalami demam kuning atau bayi boleh mengalami sindrom sesak nafas.

Bagaimanapun dalam kebanyakan kes, dengan kawalan yang baik, iaitu dengan mengawal paras gula darah, mengamalkan pemakanan sihat, bersenam dan mengekalkan berat badan seimbang; wanita boleh melahirkan bayi yang sihat.

Ada lagi satu perkara penting yang perlu diketahui khususnya bagi pesakit diabetes iaitu ujian untuk mengetahui paras HbA1c. Ini adalah ujian bagi menunjukkan purata gula dalam sel darah merah dalam tempoh tiga bulan. Ia juga menunjukkan sama ada diabetes anda terkawal atau sebaliknya.

Dalam ujian ini, sampel darah pesakit akan diambil dan dihantar ke makmal untuk dianalisis. Keputusan anda normal jika HbA1c berada pada tahap 6 peratus atau kurang. Tahap HbA1c yang digunakan untuk diagnosis diabetes ialah kurang dari 5.7 peratus (normal), 5.7 hingga 6.4 peratus (pra diabetes) dan 6.5 peratus atau lebih (diabetes). Jika anda menghidap diabetes, anda perlu memastikan paras HbA1c di bawah 7 peratus dan berbincang dengan doktor tahap yang sesuai untuk anda.

Diabetes tidak terkawal boleh mencetuskan pelbagai komplikasi yang membabitkan banyak organ seperti menyebabkan kerosakan jangka panjang kepada mata (boleh mengakibatkan buta), saraf (kebas atau hilang deria rasa di tangan dan kaki boleh cedera tanpa disedari), otak (strok), buah pinggang (kegagalan buah pinggang) dan jantung (serangan jantung).

Jangan perjudikan kesihatan dan segeralah jalani pemeriksaan kesihatan am untuk mengetahui tahap kesihatan anda. Sesiapa yang bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri, seharusnya datang untuk menjalankan saringan pemeriksaannya kerana umur yang panjang tidak bermakna jika kita tidak sihat. Ujian saringan kesihatan am boleh dilakukan di mana-mana klinik atau 50 cawangan makmal Pathlab di seluruh Malaysia.

utusan ARKIB : 20/11/2011

Periksa mata anda sekarang

Lakukan pemeriksaan mata berkala mulai 40 tahun. - gambar hiasan.
ANTARA anggota utama yang tidak terlepas daripada kesan usia ini adalah mata, yang paling jelas merosot fungsinya selepas umur 50 tahun.

Usia emas tidak bermakna menjadi rabun atau buta, malahan ia boleh dicegah atau sekurang-kurangnya dilambatkan dengan langkah pencegahan dan rawatan terkini. Katarak, glaukoma, kemerosotan makula berkaitan usia (AMD) dan retinopati diabetik, yang paling banyak menyebabkan masalah mata dan kebutaan warga emas.

Mata merupakan antara struktur badan yang mempunyai metabolisme paling tinggi. Lebih 120 juta fotoreseptor mata berfungsi setiap milisaat dan tidak berhenti selagi mata dibuka untuk melihat. Begitu banyak salur darah halus membolehkan metabolisme tinggi ini berterusan dan mata terus melihat.

Tahap kesihatan mata juga dapat menjadi penunjuk kepada tahap kesihatan badan seseorang .

Oleh itu, adalah dinasihatkan pemeriksaan berkala untuk mata perlu dimulakan dari umur 40-an, atau lebih awal lagi dan bukan hanya diperiksa selepas masalah penglihatan mula timbul.

Struktur mata terbina daripada beberapa bahagian berbeza seperti kornea, iris, kanta, retina, saraf optik, makula dan salur darah halus . Kehilangan penglihatan mungkin boleh dirawat atau tidak, bergantung kepada struktur yang terjejas. Oleh itu pengesanan awal dan langkah pencegahan adalah sangat penting.

Punca
Hasil kajian yang dijalankan menunjukkan masalah obesiti atau kegemukan menjadi punca kepada kebanyakan penyakit.

Perangkaan terbaru juga menunjukkan semakin ramai golongan muda negara ini (di bawah umur 40 tahun) yang menghidap diabetes jenis kedua, seawal umur 20-an lagi. Gejala ini akan membawa kepada komplikasi salur darah halus (mikrovaskular) yang banyak terdapat pada mata. Retinopati diabetik merupakan punca utama kebutaan yang boleh dicegah dan mungkin menyebabkan pesakit buta seawal usia 30-an.

Paras gula yang tidak terkawal, terlalu tinggi (hiperglisemia) atau terlalu rendah (hipoglisemia) dan tempoh menghidap diabetes (lebih lama lebih bahaya) menentukan risiko menghidap retinopati diabetik.

Diabetes juga boleh membawa kepada komplikasi makulopati diabetik (pengumpulan lemak di dalam mata yang menyebabkan bengkak pada makula) dan glaukoma atau peningkatan tekanan pada mata.

Jenis-jenis masalah mata:
1. Katarak - Punca utama kebutaan masyarakat dunia ialah katarak yang menyebabkan kanta mata (yang jernih) menjadi legap sehingga cahaya tidak dapat sampai ke retina. Katarak tidak boleh dicegah tetapi boleh dirawat. Walaubagaimanapun amalan pemakanan dan cara hidup sihat dikatakan mampu melambatkan proses terjadinya katarak. Antara tanda ialah penglihatan menjadi kabur secara beransur-ansur dan tidak boleh dibetulkan dengan cermin mata. Pesakit diabetes juga berisiko mendapat katarak lebih muda (sekitar umur 45 tahun). Mereka juga mungkin mengalami katarak gula (mata tiba-tiba kabur) akibat pengumpulan terlalu banyak gula dalam mata. Dengan teknologi terkini, pembedahan katarak menjadi lebih selamat, mudah dan proses pemulihan penglihatan juga menjadi semakin singkat.

2. Glaukoma pula merupakan keadaan di mana berlakunya kemerosotan fungsi saraf optik yang menyebabkan medan penglihatan semakin sempit seterusnya kebutaan kekal, di mana tekanan mata yang tinggi adalah penyebab utama berlakunya masalah ini.

Ujian saringan penglihatan oleh individu terlatih amat penting apabila melangkaui umur 40 tahun, terutamanya jika mempunyai sejarah keluarga dengan masalah tersebut.

3. Kemerosotan Makula Berkaitan Usia (AMD) - merupakan punca kedua utama kebutaan dunia. AMD adalah penyakit kemerosotan retina yang memberi kesan kepada makula, iaitu bahagian paling sensitif dalam mata yang membolehkan kita melihat sesuatu secara terperinci.

Pesakit AMD juga selalunya hanya dapat dikesan pada peringkat lewat iaitu bila penglihatan terjejas kerana pada peringkat awal pesakit tidak mempunyai tanda-tanda yang nyata. Pesakit AMD mungkin mengalami kesukaran dengan tugas visual seperti membaca, menentukan masa, mengenali muka dan memandu.

Berbanding katarak yang lebih mudah dikesan, glaukoma, retinopati diabetik dan AMD yang menjejaskan bahagian belakang mata boleh dikesan melalui ujian saringan yang kini terdapat di kebanyakan hospital dan klinik sama ada kerajaan ataupun swasta.

Pencegahan awal
Walaupun kini terdapat teknologi moden yang dapat membantu rawatan penyakit-penyakit mata tersebut, pilihan utama tetap kepada pencegahan bagi mengekalkan struktur dan fungsi semula jadi mata. Dianggarkan lapan juta penduduk dunia melebihi umur 55 tahun menghidap AMD, dengan 1.3 juta daripadanya akan membentuk AMD yang teruk jika tidak dirawat.

Beberapa kajian yang telah dan sedang dijalankan menunjukkan peranan antioksidan, zink dan asid lemak omega-3 memberi kesan positif dalam mengurangkan risiko dan melambatkan pembentukan AMD.

Selain pemeriksaan berkala, pencegahan dengan pengambilan antioksida dapat membantu mengurangkan kandungan radikal bebas di dalam badan, terutamanya pada mata.

Kajian menunjukkan pengambilan diet kaya dengan vitamin E dan zink mungkin bermanfaat dalam mengurangkan risiko AMD, sehingga 35 peratus jika ditambah vitamin C dan beta karotin. Dipercayai lutein meningkatkan kepadatan pigmen optikal makula mata dan meningkatkan ketajaman penglihatan jarak dekat dan sensitiviti kontras. Gabungan lutein dan zeaxanthin juga didapati dapat memberi kesan perlindungan mata daripada AMD.

Berdasarkan beberapa kajian, pengambilan bersama asid lemak omega-3 (seperti DHA, EPA), lutein dan zeaxanthin mungkin lebih berkesan menurunkan risiko AMD. Oleh itu, pengambilan suplemen tambahan tertentu mungkin membantu untuk melindungi mata dari kesan peningkatan usia.

utusan20/11/2011

Rabu, 16 November 2011

Hormon Kortisol Berlebihan Penyebab Cushings Syndrome


Selama hampir 25 tahun Zanariah tercari-cari apakah masalah yang beliau hadapi. Simptom yang dialaminya termasuklah kejang otot, sakit kepala yang kerap sehinggakan terpaksa menyimpan panadol di rumah sepanjang masa kerana sakit kepala datang dengan tidak semena-mena. Ada kalanya dia terpaksa mengambil cuti sakit kerana terlalu sakit.

Dia turut mengalami peningkatan berat badan keterlaluan meskipun mengamalkan diet yang ketat. Hal ini membuatkan Zanariah berasa kecewa kerana dia suka bergaya dan teringin mencuba fesyen baju yang cantik dan terkini. Dia juga mudah letih dan lesu, serta wajahnya tampak sembap. Akibatnya dia tampak tua dan sering digelar mak cik oleh orang yang melihatnya lantaran itu Zanariah sering mengelak keluar rumah.

Akhir-akhir ini dia tidak tahan dengan perubahan cuaca, merasakan badan berpeluh dan berbau. Dia juga lenguh, sakit sendi, kebas kaki dan tangan mudah terseliuh. Doktor menasihatkannya supaya jangan berlari kerana tubuh yang berat sukar ditampung oleh kakinya yang kecil. Zanariah juga mudah terkena gastrik, kerap berdebar dan mudah panik.

Pemeriksaan doktor menunjukkan dia mengidap darah tinggi, mempunyai kadar kolestrol yang tinggi serta kandungan gula dalam darah yang tinggi. Menurut doktor jika tidak berjaga-jaga besar kemungkinan dia akan diserang masalah kencing manis.

Zanariah mendapati tidurnya tidak lena, serta haidnya menjadi yang tidak menentu. Dia rasa tahap kesihatannya seperti orang tua meskipun usianya masih muda.

Ditanya punca masalahnya, doktor memberitahu keadaan itu disebabkan tubuhnya yang gemuk. Setiap kali Zanariah berdiet berat badannya semakin bertambah. Dia yakin tidak ada siapa pun percaya bahawa dia sememangnya menjaga pemakanan.

pemeriksaan
Seorang sahabat menasihatkan dia agar lebih banyak membaca serta membuat pemeriksaan paras hormon. Zanariah datang berjumpa saya untuk mengetahui lebih lanjut perihal masalah kesihatan berkaitan hormon.

Hasil pemeriksaan jelas menunjukkan dia mempunyai masalah hormon kortisol berlebihan. Keadaan ini dikenali sebagai Cushings Syndrome. Hormon kortisol yang tinggi mengubah penampilan seseorang. Lebih lama seorang itu terdedah kepada permasalahan ini maka lebih banyak perubahan yang kita nampak pada fizikalnya.

Ciri fizikal yang ketara ialah penambahan berat badan, lemak berkumpul pada muka perut, leher, belakang leher, manakala kaki dan tangan kelihatan kecil. Tanda regangan kulit mula kelihatan pada perut, payu dara dan bahu. Jerawat juga mudah tumbuh selain pertumbuhan bulu pada muka. Kulit wajah akan kelihatan kusam dan sesetengah wanita mengalami rambut gugur.

Kortisol yang berlebihan akan merangsang rasa lapar, membuatkan insulin meningkat dan rosak. Oleh kerana sel lemak bergantung kepada signal daripada kortisol untuk berpecah dan menghasilkan tenaga, maka hormon kortisol yang berlebihan akan menjadikan sel-lemak berkumpul dan membesar.

Rawatan bagi masalah seperti ini ialah memulihkan semula hormon dalam badan. Sebarang program diet dan senaman tidak mungkin berjaya lantaran kehadiran kortisol yang terlalu tinggi.

hormon
Kortisol ialah hormon yang terhasil dari kelenjar adrenal yang terletak pada buah pinggang kita. Hormon kortisol terlibat secara langsung dalam metabolisme lemak. Jika ia berlebihan atau berkurangan maka lemak akan berkumpul. Ia juga mustahak dalam penghasilan tenaga tubuh kita. Jika berkurangan atau berlebihan tenaga tidak dapat terhasil dengan baik.

Justeru itu hormon kortisol harus berada pada tahap optimum bagi seseorang itu memperoleh tubuh badan yang langsing serta tahap kesihatan yang baik.

Masalah obesiti selalunya disebabkan hormon kortisol yang berlebihan sering berlaku menyebabkan mereka sukar menurunkan berat badan.

Kortisol yang tidak seimbang sering mengganggu tindakan hormon lain seperti hormon tiroid, hormon estrogen, hormone progesterone dan lain-lain lagi. Ini kerana hormon saling bertindak secara synergistic. 

Kesan berlebihan atau ketiadaan satu hormon akan mengganggu tindakan hormon lain.

Faktor ini menyebab kan seseorang itu di ganggu masalah haid tidak teratur, tubuh yang sembab serta degupan jantung yang tidak sekata.

Program penurunan berat badan yang ideal bagi masalah berat badan adalah:

  • membaiki kadar hormon 
  • senaman yang membantu meningkatkan aktiviti hormon 
  • program pemakanan yang memulihkan sistem hormon.
Sesetengah makanan yang berkabohidrat seperti kanji, gula, nasi dan kentang meningkatkan insulin dan kortisol menyebabkan masalah obesiti semakin menjadi-jadi. Makanan yang sesuai adalah ikan, buah buahan serta sayur-sayuran yang mampu membuat paras gula dalam darah tetap berada pada tahap yang terkawal.

Sabtu, 5 November 2011

Lelaki juga berisiko dijangkiti virus human papillomavirus (HPV)

Sumber

Oleh ROSMAH DAIN
DI peringkat dunia, kanser servik adalah kanser kedua yang banyak menyebabkan kematian di kalangan wanita selepas kanser payu dara. Ia membunuh seorang kaum Hawa dalam tempoh setiap dua minit.

Manakala di Malaysia, kanser servik menjadi kanser ketiga paling kerap dihidapi wanita selepas payu dara dan kolorektum.

Statistik Kanser Malaysia pada 2006 menunjukkan, kanser servik merangkumi 9.1 peratus daripada 10 kanser paling kerap di kalangan wanita di negara ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan lebih daripada 700 wanita Malaysia maut akibat kanser servik setiap tahun.

Laporan yang dikeluarkan WHO, kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan dan perubatan menegaskan, hanya kaedah pelalian dijangka mampu mengurangkan dengan ketara risiko seseorang wanita diserang kanser servik.

Justeru, kempen pelalian kebangsaan untuk menentang virus human papillomavirus (HPV) yang dianjurkan Kementerian Kesihatan bermula Julai 2010 di kalangan gadis berusia 13 tahun telah dijalankan dalam usaha untuk mengurangkan risiko kanser berkenaan.

Kanser servik adalah penyakit di mana sel-sel yang tidak normal terbentuk pada dinding servik. Jangkitan HPV di servik di kenal pasti antara penyebab utama kanser servik.

Namun apakah nama di sebalik virus HPV itu sebenarnya, jenis-jenisnya dan bagaimanakah cara ia menyerang? 

Adakah ia hanya menyerang golongan Hawa dan bagaimana pula dengan golongan lelaki adakah kebal dengan virus ini?

Semua persoalan ini dirungkai oleh Datin Dr. Kamaljit Kaur, yang pernah berkhidmat selama tiga tahun sebagai Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Hospital Kuala Lumpur .

Beliau kini merupakan doktor pakar di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur dan pakar perunding di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor.

Apakah HPV dan terdapat berapa jenis HPV?

Dr. Kamaljit Kaur: HPV (Human Papillomavirus) adalah virus biasa yang menyerang lelaki dan wanita. Terdapat lebih 100 jenis HPV. Kebanyakan HPV tidak menimbulkan apa-apa gejala, tidak berbahaya dan dapat dihapuskan oleh imunisasi badan kita. Terdapat kira-kira 30 jenis HPV yang dikenali sebagai HPV kelamin kerana virus ini memberikan kesan terhadap bahagian kelamin.

Ada beberapa jenis yang boleh mengakibatkan kanser servik atau pun menyebabkan sel abnormal pada lapisan servik yang boleh bertukar menjadi kanser.

Terdapat juga beberapa jenis HPV yang boleh menyebabkan ketuat kelamin dan perubahan benigna (bukan kanser) di dalam servik.

Selain kanser servik dan ketuat pada alat kelamin wanita. Apakah penyakit-penyakit lain yang boleh ditimbulkan oleh HPV dan bagaimana serius keadaannya?

Dr. Kamaljit Kaur: HPV boleh menyebabkan lebih daripada kanser servik di kalangan wanita. Terdapat beberapa jenis HPV berisiko tinggi, iaitu jenis 16 dan 18. Infeksi berlarutan daripada HPV ini, boleh mengakibatkan kanser servik dan kanser lain pada bahagian kelamin termasuk vagina dan vulva. HPV jenis 16 dan 18 menyumbang kepada kira-kira 70 peratus kejadian kanser servik.

Manakala jenis HPV yang berisiko rendah pula HPV jenis 6 dan 11 boleh menyebabkan terbentuknya ketuat kelamin, iaitu ketumbuhan bukan kanser seumpama daging yang muncul di bahagian kelamin dan di sekelilingnya.

HPV jenis 6 dan 11 menyebabkan kira-kira 90 peratus daripada semua kes ketuat kelamin. Ketuat kelamin sangat mudah berjangkit. Kira-kira dua per tiga daripada kalangan orang yang mempunyai hubungan seks dengan pasangan yang ada ketuat genital (kelamin) akan menjangkitinya, lazimnya dalam tempoh tiga bulan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa terdapat 32 juta kes ketuat kelamin baru akan muncul setiap tahun di seluruh dunia.

HPV juga dikaitkan dengan penyakit lain (yang jarang berlaku) seperti RRP (papilomatosis respirasi berulang), sejenis penyakit pertumbuhan di tekak yang menyukarkan pernafasan.

Bolehkah golongan lelaki mendapat HPV? Apakah jenis HPV yang boleh mendatangkan kesan kepada lelaki?

Dr. Kamaljit Kaur: Selain mengakibatkan penyakit-penyakit di kalangan wanita, HPV juga boleh menyebabkan pertumbuhan ketuat kelamin, kanser dubur, kanser zakar dan sesetengah kanser kepala dan leher seperti kanser oropharnyx di kalangan lelaki. Lelaki dan wanita boleh menyebarkan HPV antara satu sama lain melalui hubungan seksual, walaupun persetubuhan tidak berlaku.

Siapakah yang berisiko dijangkiti HPV.
Dr. Kamaljit Kaur: HPV tidak mengenal jantina, umur ataupun bangsa. Sesiapa yang mempunyai hubungan seksual mempunyai risiko dijangkiti HPV. Jangkitan HPV biasanya tidak menimbulkan apa-apa tanda atau gejala, kebanyakan orang yang dijangkiti HPV tidak tahu mereka mempunyainya (menghidapinya). Faktor-faktor risiko mendapat jangkitan HPV berkait dengan kelakuan seksual, seperti bilangan pasangan seks, sejarah sepanjang hayat pasangan seks dan sejarah seks dengan pasangan tersebut. Kebanyakan kajian melaporkan bahawa golongan yang berusia muda (bawah 25 tahun) adalah faktor risiko mendapat jangkitan HPV.

Penghidap HPV tidak menyedari diri mereka mempunyai virus itu sehinggalah simptom-simptom penyakit muncul. Adakah cara lain yang membolehkan HPV ini dikesan lebih awal supaya ia dapat dibendung daripada berkembang menjadi penyakit-penyakit lain?

Dr. Kamaljit Kaur: Setakat ini tidak terdapat pemeriksaan lazim untuk mengesan jangkitan HPV di kalangan lelaki. Tetapi wanita boleh menjalani lumuran pap (pap smear) setiap tahun. Lumuran pap adalah sebahagian daripada pemeriksaan ginekologi. Ujian ini dapat mengesan sel abnormal pada lapisan servik sebelum sel ini berpeluang menjadi (sel) kanser servik.

Kementerian Kesihatan menyediakan pelalian HPV bagi remaja berumur 13 tahun, Bagaimana dengan mereka yang berusia lebih daripada itu?

Dr. Kamaljit Kaur: Masa yang paling sesuai untuk pelalian HPV adalah sebelum pendedahan seksual dan apabila sistem imun berada di kemuncaknya. Oleh itu, kami cuba mendidik ibu bapa memberikan vaksin tersebut kepada anak-anak mereka awal pada kira-kira 13 tahun apabila sistem imun adalah tinggi.

Walau bagaimanapun, wanita muda berumur sehingga 45 tahun boleh mendapatkan vaksin selepas berunding dengan doktor.

Jadi, mereka yang berumur melebihi 13 tahun adalah digalakkan menjalani pelalian HPV terutamanya hingga umur 26 tahun malahan hingga ke umur 45 tahun.

Berapa banyak negara di dunia yang menyediakan program pelalian HPV kebangsaan mereka?

Dr. Kamaljit Kaur: Kini terdapat 34 negara di dunia yang mempunyai program pelalian HPV kebangsaan. Kesan program pelalian HPV kebangsaan jangka pendek adalah seperti pengurangan infeksi HPV dan ketuat kelamin (secara bulanan), kesan jangka pertengahan termasuk pengurangan insiden lesi servik dan RRP (papilomatosis respirasi berulang) permulaan juvana (secara tahunan) dan kesan jangka panjang seperti insiden dan kematian daripada kanser servik, kanser dubur, kanser-kanser anogenital lain (kanser vulva dan kanser faraj) dan kanser oropharynx (dekad).

Walaupun setakat ini, tiada bukti pengurangan HPV 16 dan 18 tahap populasi yang diterbitkan, terdapat data dari klinik-klinik kesihatan seksual di Australia yang menunjukkan penurunan penyakit ketuat kelamin dan dari Pejabat pendaftar ujian pap peringkat negeri Australia pula, data pengurangan penyakit servik gred tinggi.

Bukti-bukti ini diperhatikan semenjak pelaksanaan program pelalian HPV kebangsaan Australia yang mempunyai kumpulan sasaran wanita yang berumur 12-26 tahun pada tahun 2007.

Donovan et al. (sebuah kajian terbaru tempatan) telah memerhatikan penurunan sebanyak 59 peratus pada diagnosis insiden ketuat kelamin di kalangan wanita yang layak mendapat pelalian HPV program kebangsaan Australia, di lapan klinik kesihatan seksual Australia.

Penurunan sebanyak 39 peratus juga dapat dilihat di kalangan lelaki heteroseksual umur yang sama yang menampakkan bukti-bukti awal imuniti kumpulan (herd-immunity), kesan pengurangan jangkitan antara pasangan. Tiada penurunan ketuat kelamin yang diperhatikan di kalangan wanita lebih tua (bukan kumpulan sasaran program pelalian) atau lelaki yang mempunyai hubungan seks dengan lelaki.

Brotherton et al. (sebuah kajian terbaru tempatan) memerhatikan penurunan insiden lesi serviks gred tinggi yang disahkan dari segi histologi, di kalangan wanita muda Victoria (di Australia) yang dilaporkan dari Pejabat Pendaftaran sitologi servik, tidak lama sejak pelaksanaan Program Pelalian Kebangsaan Australia.

Memandangkan golongan lelaki juga berisiko dijangkiti HPV, adakah mereka patut diberikan pelalian HPV juga? Apakah umur yang disarankan bagi pelalian golongan ini?

Dr. Kamaljit Kaur: Sememangnya lelaki patut divaksinasi kerana mereka mempunyai risiko dijangkiti HPV dan pada masa yang sama menyebarkan HPV kepada pasangan wanita mereka. Seperti yang dimaklumkan, penyakit-penyakit yang disebabkan oleh HPV di kalangan lelaki termasuk ketuat kelamin, kanser zakar, kanser dubur dan sesetengah kanser kepala dan leher.

Pelalian HPV quadrivalent mempunyai indikasi rasmi untuk mencegah ketuat genital (kelamin) yang disebabkan oleh HPV 6 dan 11 untuk lelaki berumur sembilan ke 26 tahun, yang diluluskan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan pada September 2010.

Jadual untuk tiga dos pelalian HPV untuk lelaki adalah sama dengan dos pelalian perempuan.

Memandangkan lebih ramai golongan remaja perempuan sekarang dilindungi menerusi pelalian, adakah ini bermakna mereka tidak perlu lagi menjalani ujian pap smear (lumuran pap) pada masa hadapan?

Doktor: Pelalian HPV bukanlah gantian bagi lumuran pap. Semua wanita digalakkan untuk menjalani lumuran pap secara kerap walaupun suntikan vaksin HPV sudah dilakukan.

Mingguan Malaysia 1/11/11


BOLEH BACA TENTANG PELALIAN HPV di sini

Rabu, 2 November 2011

Kesan kanser dengan sekali imbasan - Mesin 3D Mamogram Tomosintesis

Oleh ADLAN JAAFAR


TUGAS harian Siti Aishah Abdullah Suhaimi akan mengimbas setiap payudara individu yang datang ke Pusat Sehenti Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) yang terletak di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur.

Cara kerja gadis berumur 27 tahun yang bertugas sebagai jururadiograf itu masih lagi sama sebelum pusat tersebut menggunakan mesin Mamogram 3 Dimensi (3D) Tomosintesis pada bulan Oktober lalu.

“Cuma, bezanya hari ini dengan sekali imbasan, pakar radiologi dan doktor sudah boleh mengesahkan kehadiran kanser atau tidak. Jarang berlaku pemeriksaan susulan. Individu yang datang adalah mereka yang membuat pemeriksaan berkala.

“Seting pada mesin ini pula boleh saya katakan sebagai mesra pengguna dan tidak rumit untuk dikendalikan. Malah, apa yang lebih penting gambar yang terhasil lebih baik dan jelas berbanding dahulu,” ujar Aishah kepada Kosmo!.

Mesin 3D Mamogram Tomosintesis ialah yang pertama digunakan di Malaysia dan kelima di dunia. Ia mampu menghasilkan imej 3D payudara daripada pelbagai sudut dan yang paling penting mampu memberi imej tisu payudara dengan lebih jelas.

HANYA dengan sekali imbasan pakar radiologi atau doktor boleh mengesan kehadiran kanser payudara ke atas seseorang wanita.
Pengerusi Hologic Inc., Jack Cumming berkata, mesin 3D Mamogram Tomosintesis menggunakan teknologi Digital Breast Tomosynthesis (DBT) yang membolehkan imej 2D dilihat daripada pelbagai sudut.

Dengan DBT, imej payudara dipotong dengan ketebalan senipis satu milimeter. Ia membolehkan pakar radiologi meneliti setiap lapisan imej yang diingini.

Imej juga boleh diimbas daripada pelbagai sudut berbanding dengan mesin 2D lama yang hanya boleh mengimbas secara atas ke bawah atau kiri ke kanan.

“Dengan sekali tekanan, sebanyak 15 imej boleh dihasilkan berbanding mesin konvensional mamogram iaitu terhad kepada dua imej untuk setiap dua tekanan yang diberikan,” ujarnya lagi.

Sukar

Kesukaran membuat diagnosis kehadiran ketulan kanser pada bahagian payudara disifatkan seperti mencari sebatang jarum dalam timbunan jerami padi.

Sering kali, pesakit memerlukan pemeriksaan susulan seperti melakukan mamogram pada arah yang lain atau pemeriksaan ultrabunyi bagi memastikan kehadiran kanser payudara adalah positif.

Kelambatan pengesahan itu bukan sahaja memberi tekanan kepada mereka bahkan, menyebabkan masa dan wang terbuang. Malah, yang paling ditakuti apabila pengesahan dilakukan ketika kanser sudah berada pada peringkat akhir.

SULTAN PERAK, Sultan Azlan Shah berkenan mencemar duli merasmikan pelancaran mesin 3D Mamogram Tomosintesis pertama di negara ini.

Menurut Pakar Perunding Radiologi NCSM, Dr. Sulaiman Tamanang, ia berlaku kerana imej imbasan yang diterima dengan menggunakan mesin mamogram 2D adalah leper, manakala imej terhasil sering menimbulkan kekeliruan dengan imej mimik kanser dan kelenjar susu.

Dengan sekali imbasan oleh mesin, 3D Mamogram Tomosintesis, tiada lagi pemeriksaan susulan bagi mengesahkan kehadiran sel kanser sekaligus meningkatkan pengesanan awal kanser.

Tambah Sulaiman, kajian menunjukkan penggunaan kombinasi imej 2D dan 3D pula boleh meningkatkan tahap ketepatan oleh pakar radiologi dan mengurangkan sebanyak 30 peratus pesakit dipanggil semula.

Bagaimanapun, Sulaiman menegaskan bahawa mesin yang hanya dikhaskan kepada kaum wanita itu tidak boleh menyembuhkan atau mencegah kanser tetapi ia membantu mengesan kehadirannya.

Bagi mereka yang sering timbul perasaan bahawa menjalani pemeriksaan mamogram adalah menyakitkan dan bahaya, Sulaiman memberi jaminan mesin terbaharu itu lebih selesa berbanding yang lama.

Kadar pendedahan radioaktif pula tidak merbahaya iaitu umpama pendedahan pada setengah batang asap rokok.

Teknologi terkini

ARI kiri: Cumming, Saunthari dan Sulaiman menerangkan mengenai mesin 3D Mamogram Tomosintesis.
Mendidik, menjaga dan menyokong merupakan tiga patah perkataan yang menjadi falsafah pada NSCM dalam menjalankan setiap kerja-kerja amal mereka.

Oleh sebab itu, Presiden NCSM, Dr. Saunthari Somasundaram berkata, pihak mereka begitu komited untuk membawa teknologi perubatan yang terkini dan moden.

“Ia adalah usaha kami untuk berterusan menangani kanser,” ujarnya ketika majlis pelancaran mesin mamografi baru-baru ini.

Pada awal tahun 2000, terdapat trend yang amat membimbang apabila banyak kes-kes barah payudara melibatkan wanita muda. Mesin mamografi yang ada ketika itu sangat terhad untuk mengesan pembentukan kanser pada wanita muda dan kepada individu yang memiliki payudara padat.

“Meskipun mesin tomografi berharga lima kali ganda daripada mesin biasa tetapi, kemampuan yang ada pada mesin tersebut dan objektif NCSM menyebabkan kami membeli mesin mamogram Holigic pertama di Malaysia,” terangnya lagi.

NCSM menyediakan perkhidmatan pemeriksaan payudara menggunakan mesin mamografi digital pada tahun 2003 dengan memberikan caj bayaran yang berpatutan.

Selorohnya, pelawat NSCM hanya perlu membayar perkhidmatan di pusat sehenti itu seperti membeli sebuah kereta Proton tetapi menerima kepuasan terbaik seperti menaiki Mercedes.

“Untuk mesin 3D Mamogram Tomosistesis, bayaran yang dikenakan amat murah iaitu antara RM250 hingga RM300 untuk membuat pemeriksaan kanser payudara,” katanya lagi.

Selasa, 1 November 2011

Cantik dengan sel stem



Sejak kebelakangan ini ramai wanita bertanya kepada saya mengenai rawatan "stem cell". Ini kerana terdapat pelbagai rawatan sel stem yang ditawarkan seperti rawatan sel stem buah-buahan atau rawatan sel stem manusia.  

Tetapi apakah sebenarnya sel stem?

Sel stem adalah sel asas organisme. Ini bermakna ia boleh berubah menjadi apa-apa sel lain di dalam badan. Oleh itu ia sangat berguna dalam merawat dan memperbaiki tisu-tisu . Sebagai contoh jika kita mengalami kecederaan otot atau sel otak, sel stem akan membahagi dan bertukar kepada sel otot atau sel otak untuk merawat dan menggantikan sel tercedera agar organ terlibat sembuh.

Sel stem manusia terbahagi kepada dua. Sel stem embryonic dan sel stem dewasa. Sel stem embryonic diambil dari embrio dan berupaya berubah menjadi apa-apa sel organ seperti jantung atau otak. Banyak kajian sel stem embryonic dilakukan di dalam makmal untuk perubatan moden. Di antara penyakit yang berpotensi dirawat dan disembuhkan dengan sel stem embryonic adalah penyakit parkinson, diabetes, kerosakan saraf tunjang, duchenne's muscle dystrophy, pekak dan buta.

Namun begitu, di bidang kecantikan, sel stem yang kita berminat adalah sel stem dewasa. Berbeza dengan sel stem embryonic yang boleh bertukar menjadi apa-apa sahaja sel organ, sel stem dewasa hanya boleh bertukar menjadi sel-sel tertentu bertujuan merawat sel-sel yang telah rosak atau pupus. Sebagai contoh, apabila sel stem ini disuntik ke bahagian muka, ia boleh memudakan wajah dengan menggantikan sel-sel yang telah tercedera dan rosak. Jika ia disuntik di kulit kepala, ia mampu membuatkan rambut kita lebih lebat dan sihat.

kecantikan

Stem sel dewasa terdapat banyak di sel-sel lemak, sum-sum tulang dan darah. Dalam bidang kecantikan, doktor menggunakan darah sebagai sumber untuk mendapatkan sel stem. Ia lebih mudah untuk diproses daripada sumber dari lemak atau sum-sum tulang. Doktor selalunya akan mengambil 10cc ke 30cc darah dan diletakkan di dalam tabung uji khas untuk memisahkan serum dan sel-sel darah merah. Setelah menjalani beberapa tahap pemprosesan, serum yang mengandungi sel stem, platelet, dan hormon dihasilkan. Serum ini akan di suntik kembali ke bahagian kulit muka. Apabila kulit muka menerima serum yang mengandungi sel stem dan pelbagai bahan lain, ia akan mula menyembuh dan memudakan kulit muka secara semula jadi. Kulit akan menjadi lebih gebu, bersinar, bersih dan tegang. Untuk mendapatkan hasil yang berkekalan, proses rawatan perlulah diulang setiap dua ke empat bulan.

Adakah ia selamat?  

Ya, sudah semestinya kerana kita menggunakan sumber sel stem dari badan kita sendiri. Oleh itu tidak timbul masalah alahan atau kesan samping yang lain.

Adakah ia berkesan?  

Sudah semestinya. Ini kerana hanya sel stem manusia sahaja boleh digunakan untuk merawat dan memudakan sel manusia. Sel stem buah-buahan contohnya sel stem durian tidak boleh bertukar dan merawat sel manusia. Satu lagi faktor penting adalah sel stem tidak boleh dibotolkan atau disimpan di bawah suhu biasa. Sel stem sama ada disimpan di makmal dengan persekitaran dan suhu tertentu atau diproses dan digunakan serta merta. Ini dijelaskan oleh seorang profesor di sebuah universiti di Korea baru baru ini.
Manusia

Saya ada terbaca bahawa sel stem tumbuhan boleh "merangsang" sel manusia untuk memperbaiki diri sendiri. Di pasaran sebenarnya sudah ada krim krim yang mengandungi tretinoin yang sudah terbukti boleh merangsang sel-sel kulit untuk memudakan kulit tersebut. Ini bukan sesuatu penemuan baru di bidang kosmetik.

Ada juga kajian yang menunjukkan sebenarnya sel stem tumbuhan ini mengandungi anti oksida yang tinggi untuk memudakan kulit.

Walau apa pun, ada juga yang mengaku bahawa rawatan sel stem tumbuhan berkesan kepada mereka, tetapi kurang pasti kesannya sama ada daripada "bahan" yang merangsang sel atau kesan anti oksida.

Namun begitu yang pasti, sel stem yang terbaik untuk manusia adalah sel stem manusia dan untuk merawat diri sendiri, sel stem terbaik adalah sel stem diri sendiri. Kini banyak klinik kecantikan menawarkan rawatan sel stem. Namun begitu ada yang memproses 10cc darah dan ada yang memproses sehingga 30 cc darah. Lagi banyak darah diproses, lagi banyak sel stem akan dihasilkan. Lagi banyak sel stem digunakan di dalam rawatan kecantikan, hasilnya pasti lebih memuaskan dan cantik. Oleh itu berbincang dahulu dengan doktor anda mengenai rawatan sel stem sebelum melakukannya. Dapatkan rawatan yang paling berkesan dan paling selamat. PENULIS boleh dihubungi di 09-5164777.

Utusan30/10/2011

Sindrom carpal tunnel berterusan


Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
30/10/2011

PERNAHKAH anda rasa berdenyut-denyut dan kebas pada bahagian pergelangan tangan? Jika sakit yang dialami berpanjangan, anda mungkin mengalami keadaan yang dipanggil sindrom Carpal Tunnel (CTS).

Perunding Ortopedik, Artoroskopi dan Pembedahan Kecederaan Sukan dari Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Kol (B) Dr. Azmi Abdul Latiff berkata, CTS terjadi apabila saraf median yang terletak pada pergelangan tangan tersepit.

"Ia menyebabkan rasa kebas dan sakit pada ibu jari, jari telunjuk, jari hantu dan setengah bahagian pada jari kecil," katanya.

Terowong yang terletak di bahagian tengah pergelangan tangan katanya memberi laluan dan perlindungan kepada saraf median ke bahagian tangan. Tekanan yang berlaku menyebabkannya tidak berfungsi dengan normal serta menimbulkan rasa sakit dan kebas, seterusnya melemahkan bahagian tangan.

Menurutnya, simptom CTS bermula secara perlahan-lahan dengan rasa sakit pada bahagian pergelangan tangan yang boleh melarat ke bahagian tangan dan lengan.

Sekitar dua hingga 15 peratus daripada populasi dunia dikatakan mengalami keadaan CTS dan ia biasanya lebih meluas di kalangan wanita berbanding lelaki.

Antara simptom yang biasanya terjadi adalah:

1. Kebas - pada bahagian tangan dan jari-jari tangan terutamanya ibu jari, jari telunjuk, jari hantu dansebahagian jari manis tetapi tidak pula berlaku pada jari kecil kerana berlainan saraf. Rasa kebas ini akan menjadi lebih kuat terutamanya semasa memandu, semasa memegang objek seperti telefon atau surat khabar atau semasa bangun dari tidur.

2. Sakit dan berdenyut - yang terjadi pada sendi pergelangan tangan sehingga ke lengan atas, bahu atau ke tapak tangan dan jari, terutamanya selepas menggunakan tangan secara berterusan atau menggunakan tangan dengan kuat.

3. Rasa lemah - pada bahagian tangan dan boleh menyebabkan objek yang dipegang akan jatuh.

Risiko

Menurut Dr. Azmi, mereka yang berisiko menghidap sindrom ini adalah golongan yang mengalami tekanan pada tangan atau penggunaan tangan yang berlebihan dalam pekerjaan, terutamanya melibatkan penggunaan tangan atau pergelangan tangan secara berlebihan, berulang-ulang dan dengan kuat.

Contoh pekerjaan yang melibatkan pergerakan adalah seperti bekerja di kilang pemasangan yang menggunakan jentera berat. Selain itu, kerja berulang yang melibatkan menaip, memandu kereta, menjahit dan melukis turut dikaitkan dengan masalah itu.

Mereka yang melibatkan diri dengan sukan yang menggunakan pergelangan tangan seperti pemain bola baling dan badminton turut tidak ketinggalan menghidapi masalah CTS, begitu juga dengan pemain muzik profesional.

Faktor-faktor lain yang meningkatkan risiko menghidap sindrom ini adalah:

1. Penyakit artritis iaitu penyakit sendi mudah diserang sakit pada sendi pergelangan tangan.

2. Penyakit lain yang melibatkan gangguan hormon seperti diabetes, gangguan tiroid dan menopaus atau keadaan yang menyebabkan takungan cecair badan seperti wanita hamil.

3. Kegemukan. Apabila berat badan bertambah, maka lemak-lemak turut bertambah pada bahagian tertentu seperti tangan menyebabkan saraf median menyempit.

4. Wanita mengalami tiga kali lebih risiko berbanding dengan lelaki. Kebanyakannya berlaku selepas menopaus.

5. Wanita yang hamil dan mereka yang menggunakan pil perancang keluarga. CTS yang berlaku semasa hamil biasanya akan hilang selepas melahirkan anak.

6. Mereka yang merokok juga akan mengalami simptom CTS yang lebih teruk berbanding mereka yang tidak merokok.

Diagnosis

Sekiranya ada simptom dan tanda CTS, doktor akan mencadangkan untuk melakukan beberapa ujian seperti:
1. Electromygram: Untuk menentukan bahawa kerosakan otot pada bahagian tangan sudah berlaku atau tidak.

2. Nerve conduction study: Untuk melihat sama ada impuls elektrik saraf menjadi perlahan atau tidak.

Saraf median yang menyebabkan terjadinya simptom CTS tidak memberikan perubahan deria rasa pada jari kecil tangan.

Tanda lain seseorang menghidap sindrom ini adalah masa berlakunya simptom tersebut.

Masa simptom CTS timbul adalah semasa memegang objek seperti telefon, surat khabar, memegang stereng ketika memandu atau ketika bangun dari tidur pada waktu pagi.

Doktor juga akan memeriksa deria rasa pada jari dan kekuatan otot-otot pada tangan.

Dengan menekan tangan secara membongkokkan pergelangan tangan (phalen's sign) atau mengetuk pada bahagian pergelangan tangan (tinel's sign) turut akan menyebabkan simptom CTS semakin jelas dan teruk.

Pesakit yang mendapatkan rawatan perlu memastikan dan memaklumkan doktor tempat di mana simptom dan tanda-tanda CTS berlaku sekitar bahagian tangan.

Rawatan

Pesakit yang mengalami simptom yang tidak teruk boleh mengurangkan rasa sakit dan kebas dengan mengambil lebih banyak masa untuk merehatkan tangan atau membuat pek ais untuk mengurangkan bengkak pada tangan.

Terdapat juga kaedah rawatan lain yang melibatkan pembedahan atau tanpa bedah.
Kaedah tanpa pembedahan melibatkan:

Anduh: mengurangkan pergerakan pada pergelangan tangan akan mengurangkan simptom terutamanya pada waktu malam (layari laman web futuro.com.my). Namun alat ini hanya berkesan untuk keadaan CTS pada peringkat awal.

non-steroidal anti-inlammatory drug (NSAIDs): Menggunakan ubat mengurangkan bengkak untuk mengurangkan rasa sakit terutamanya mereka yang mengalami kesakitan disebabkan oleh keadaan yang berkaitan dengan pembengkakan bahagian tangan.

steroid: Suntikan ubat jenis steroid ke dalam bahagian carpal tunnel boleh mengurangkan kesakitan. Pengambilan steroid secara oral pula mungkin tidak dapat mengurangkan simptom.

Kaedah pembedahan pula mungkin terpaksa dilakukan dalam keadaan di mana simptom tidak dapat dirawat menggunakan cara lain atau simptom terus berlarutan dan bertambah teruk.

Pembedahan boleh dilakukan dengan cara endoskop atau dengan membuat pembedahan kecil di bahagian pergelangan tangan.

Doktor akan membuat hirisan pada ligamen carpal yang memberi tekanan pada saraf median.

Pembedahan boleh memberi perubahan yang ketara pada simptom Sindrom Carpal Tunnel tetapi kadangkala kesan seperti kebas, lemah tangan dan kesakitan mungkin akan berlarutan untuk satu tempoh masa tertentu. 

Menurut Dr Azmi, walaupun begitu, pembedahan diyakini mampu mengatasi masalah CTS daripada berulang lagi. Lebih 70 peratus pesakit mengakui kesakitan mereka hilang selepas pembedahan.

Perubahan di tempat kerja boleh membantu mengatasi masalah CTS anda. 

Cuba:

1. Peralatan khas termasuk papan menaip, tetikus yang berlainan jenis dan alas tetikus yang empuk.

2. Pastikan papan menaip tidak terlalu rendah untuk memastikan tangan anda tidak membengkok ke atas semasa menaip.

3. Pastikan juga kedudukan siku diampu ketika menaip bagi menggalakkan sokongan pada seluruh tangan. Ergonomik ketika melakukan kerja mampu mengelakkan masalah CTS.

4. Lakukan senaman pada kawasan pergelangan tangan dengan kerap. Ambil masa untuk merehatkan tangan selepas melakukan sesuatu untuk tempoh yang lama dan berterusan.

Pernah dipostkan artikel yang berkaitan di SINI

Hidup sedentari (Gaya hidup tidak aktif) lemahkan tulang

Susu penting untuk membekalkan kalsium pada tulang menjadikannya kuat dan sihat. - Gambar hiasan
Oleh ZUHAYATI YAZID
Gambar WAHIDIN SALIM


MENGEKALKAN kesihatan yang baik pasti menjadi keinginan setiap individu dan ia sangat penting dalam kehidupan seharian.

Namun, kebanyakan daripada kita kurang mengendahkan aspek itu menyebabkan ramai yang mudah mendapat penyakit.

Biarpun sibuk di pejabat tetapi kesibukan kita sebenarnya hanya menghadap komputer tanpa perlu melibatkan aktiviti fizikal.

Malah di rumah pula, ramai yang suka menghabiskan masa dengan menonton televisyen dan menghadap komputer.

Tahukah kita gaya hidup tidak aktif atau dalam bahasa perubatan dikenali sebagai sedentari sebenarnya membahayakan diri dan kesihatan.

Tetapi ia kini merupakan gaya hidup yang semakin menjadi fenomena global.

Kebergantungan kepada mesin dan sistem yang automatik dalam kehidupan harian mengurangkan keperluan untuk kita melakukan aktiviti fizikal dan juga senaman.

Teknologi moden abad ke-21 membolehkan kita melakukan hampir segala-galanya dengan hanya menekan butang.

Meskipun ia menyenangkan hidup kita semua tetapi hakikatnya ia mampu membawa kesan yang tidak sihat.
Gaya hidup sedentari itu bukan sahaja mengganggu kesihatan diri dengan penyakit-penyakit merbahaya tetapi juga boleh menyumbang kepada masalah lemah tulang.

Perkara ini diakui oleh Pakar Perunding dan Pembedahan Ortopedik dan Trauma, Hospital Gleneagles, Dr. Chin Chee Howe.

"Tulang kita adalah tisu hidup, sungguhpun nampak keras, tulang sentiasa melalui proses penguraian dan pembinaan semula.

"Gaya hidup sedentari tidak membantu kesihatan tulang, kita perlu mengambil langkah untuk melindungi tulang sejak muda sebaik-baiknya sebelum jisim tulang mencapai puncaknya,'' katanya ketika ditemui sempena bengkel media Fonterra-Anlene mengenai kesihatan tulang, baru-baru ini.

Tegas beliau, kekurangan jisim yang berterusan boleh mengakibatkan osteoporosis, satu proses yang tidak boleh dikembalikan.

"Osteoporosis, penyakit yang menyebabkan tulang rapuh dan retak bukan lagi masalah yang dihadapi golongan tua semata-mata," ujarnya.

Katanya lagi, satu-satu cara untuk melindungi tulang ialah dengan mengamalkan diet yang seimbang dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

"Tidak kira tua ataupun muda, kita perlu bersenam secara sederhana, mengamalkan tabiat makan yang sihat dan memastikan kita memenuhi keperluan kalsium harian kita,'' ujarnya lagi.

Tegasnya, keadaan ini penting untuk membina dan mengekalkan jisim tulang dan membolehkan kita meregang dan menggunakan potensi tulang kita dengan sepenuhnya.

Katanya, dengan hanya melakukan aktiviti fizikal, kita dapat mencergaskan badan dan mencerdaskan mental kita.

Selain aktiviti fizikal, pengambilan kalsium yang mencukupi setiap hari juga adalah penting.

"Perkara ini penting bagi memastikan tulang kita sentiasa kuat dan mengelakkan daripada ia reput,'' ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengurus Insight Fontera Brands Malaysia, Sheua Yea pula memberitahu, ramai yang menyangka osteoporosis hanya akan berlaku kepada warga emas sahaja.

Malah ramai juga percaya bahawa penyakit yang berkaitan tulang tidak membawa maut. Bagaimanapun, ramai yang tidak sedar bahawa penyakit tersebut juga boleh menyerang golongan muda dan membawa maut sekiranya tidak ditangani secara awal

Hasil kajian penyelidikan yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan wanita dalam usia pertengahan hingga lewat 60-an yang mengalami masalah pinggul adalah lima kali ganda lebih berkemungkinan mati dalam masa setahun.

Tambah Yea lagi, ramai wanita menganggap kemerosotan tulang hanya berlaku di usia yang lanjut, hakikatnya ia juga boleh berlaku kepada golongan muda sekiranya tidak mendapat bekalan kalsium yang secukupnya.

"Sebab itu, ramai yang tidak mengambil perhatian sehinggalah mereka sendiri merasai kesakitan tersebut, lebih malang keadaan itu adalah kritikal,'' ujarnya.

Sambil menasihati golongan muda supaya mengamalkan meminum susu setiap hari, amalan gaya sihat juga perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.

"Senaman bukan saja membina tulang kuat, ia juga memperbaiki imbangan dan kordinasi kita. Kita perlu memastikan tulang mempunyai bahan mentah yang diperlukannya secukupnya. Malah, cara yang paling baik untuk melindungi tulang kita adalah dengan menjaganya dari usia muda dan sepanjang hayat," ujarnya.

Pengikut

Counter Sejak Februari 2011